LOGO

MAJLIS IFTAR RAMADAN AKMAL MELAKA BERSAMA PENGURUSAN TERTINGGI JKDM

AKMAL MELAKA, 18 April 2022 - Majlis Iftar Ramadan Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Melaka Bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan yang diadakan di Dewan Tun Tan Siew Sin, telah berlangsung dengan penuh kemeriahan. Ketibaan Datuk Mohd Yunus bin Charlie Charington, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) dan isteri, Datin Yusliza binti Mohamed Yusop, telah disambut oleh Tuan Norizan bin Yahya, MTT Pengarah AKMAL. Majlis juga bertambah serinya dengan kehadiran Puan Norlela binti Ismail, Pengarah Kastam Negeri Melaka dan Tuan Muhammad Hafiz bin Ishak, Pengarah Kastam Negeri, Negeri Sembilan bersama isteri, Puan Norashikin binti Abdul Basar.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Norizan bin Yahya, MTT Pengarah AKMAL. Dalam ucapannya, beliau telah menzahirkan rasa terima kasih kepada para tetamu khususnya, Datuk Mohd Yunus bin Charlie Charington yang sudi meluangkan masa hadir untuk bersama-sama dengan warga AKMAL. Seterusnya dalam ucapan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), beliau telah mengucapkan tahniah kepada Tuan Norizan bin Yahya, MTT Pengarah AKMAL dan warga AKMAL atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan program tersebut. Beliau juga berpesan kepada semua warga AKMAL agar mengekalkan perhubungan yang baik dalam mewujudkan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Semasa majlis, Datuk Mohd Yunus juga telah memberikan sumbangan kepada 30 orang anak-anak yatim dari Sekolah Kebangsaan Dato Palembang dan 40 orang golongan asnaf termasuk asnaf dari warga AKMAL dan pesara AKMAL. Majlis diakhiri dengan moreh selepas solat tarawih di Surau Al-Abidin AKMAL Melaka.