MAJLIS AMANAT PENGARAH AKMAL TAHUN 𝟐𝟎𝟐𝟔 DAN TAKLIMAT DASAR HARI BEKERJA HIBRID (HBH)
MELAKA, 31 Julai — Jabatan Pengajian Teknikal AKMAL telah menganjurkan Majlis Amanat Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) tahun 2026 bersama Taklimat Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid bertempat di Auditorium AKMAL Melaka, hari ini.
Majlis yang dihadiri oleh warga kerja AKMAL ini dimulakan dengan ucapan perasmian dan amanat daripada Pengarah AKMAL, YBrs. Puan Suwati binti Suratman. Dalam ucapan beliau, Puan Suwati menyampaikan pesanan penuh semangat bagi menyuntik motivasi warga akademi agar sentiasa mengekalkan kecemerlangan serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Beliau mengingatkan bahawa warga AKMAL berperanan penting sebagai tulang belakang kecemerlangan organisasi. Melalui komitmen yang tinggi, keterbukaan terhadap pembaharuan, serta semangat kerja berpasukan, AKMAL mampu mendepani apa jua cabaran dan memacu akademi ke tahap yang lebih tinggi.
Acara diteruskan dengan sesi Taklimat Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid yang disampaikan oleh Pendaftar AKMAL, Puan Aida binti Md Hanafiah. Taklimat ini bertujuan memberi kefahaman yang jelas mengenai pelaksanaan fleksibiliti bekerja tanpa mengorbankan produktiviti organisasi.
Pengurusan AKMAL akan memperincikan kelayakan pegawai, pematuhan waktu bekerja, serta keperluan ketersediaan semasa bertugas secara hibrid.
Bagi kawalan produktiviti dan penilaian prestasi, penekanan bahawa pencapaian KPI dan kualiti output tugasan kekal sebagai indikator utama pencapaian pegawai walaupun tugasan menyelaras dan menjalankan kursus atau program secara dalam talian. Sesi yang berlangsung dengan lancar ini diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif bersama warga kerja.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi platform menyebarkan maklumat rasmi berhubung dasar baharu, malah berjaya memperkasakan semangat solidariti warga AKMAL dalam menyokong transformasi perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan efisien serta menyahut seruan kerajaan dalam usaha penjimatan bahan tenaga.