MELAKA, 26 Oktober — Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), YBrs. Puan Suwati Binti Suratman, telah menyempurnakan Majlis Amanat Pengarah AKMAL Bilangan 4/2026 di Auditorium AKMAL Melaka pada 26 Oktober 2026 anjuran Jabatan Pengajian Kepimpinan / Hal Ehwal Istiadat.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas pencapaian cemerlang AKMAL setakat September 2026, yang merangkumi pelaksanaan 139 daripada 170 kursus tahunan, bersamaan 81.76 peratus pencapaian. AKMAL turut melangkaui sasaran kualiti dengan merekodkan 95.95 peratus bagi pencapaian objektif kursus, di samping berjaya merealisasikan 53 program kerjasama strategik serta 27 latihan secara dalam talian dan hibrid.
Walau bagaimanapun, Puan Suwati menegaskan bahawa AKMAL perlu menganjak paradigma daripada sekadar menilai tahap reaksi dan kepuasan peserta kepada tahap impak pemindahan ilmu di tempat kerja. Beliau mahu setiap latihan yang dijalankan mampu membantu pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat keputusan tepat serta menyelesaikan masalah operasi di lapangan.
Menjelang perancangan 152 kursus bagi tahun 2027, perancangan modul mestilah dipacu oleh Analisis Keperluan Latihan (TNA) yang komprehensif. Selari dengan aspirasi Belanjawan 2027, beliau menggesa warga AKMAL untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara beretika, di samping menuntut Jabatan Pembangunan ICT (JICT) agar memastikan prasarana teknologi sentiasa bersedia bagi menyokong ekosistem latihan digital masa hadapan.
Bagi mencapai hasrat tersebut, sinergi rentas jabatan adalah kritikal dan budaya bekerja secara berasingan tidak harus diamalkan. Semua jabatan di bawah AKMAL perlu bertindak secara bersepadu bermula daripada perancangan kewangan yang proaktif sehinggalah kepada pengurusan kelestarian aset institusi.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemerkasaan peribadi anggota baharu amat penting untuk diberikan penekanan agar nilai teras jabatan iaitu "Kompeten, Integriti dan Tegas" dapat disemai kukuh sejajar dengan moto "Kemahiran Diperkasa, Keunggulan Terbina".
Selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Pengarah AKMAL juga mengarahkan supaya penilaian semula proses kerja pentadbiran dilakukan sebelum beralih kepada pendigitalan sepenuhnya.
Pada penghujung amanatnya, seluruh warga AKMAL diseru agar memberikan komitmen jitu dalam mempersiapkan logistik dan kelengkapan terbaik bagi kelancaran penganjuran Majlis Ulang Tahun Ke-63 Penganugerahan Gelaran Diraja JKDM yang akan diadakan pada 29 Oktober 2026.